Friday, September 9, 2016

Hari Raya Aidiladha di Kelantan

Hari Raya Aidiladha di Kelantan


kredit kepada pemilik asal gambar

Kemeriahan Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha di Kelantan lain dari yang lain, malah lebih meriah daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri. Memang ia tidak dapat dinafikan.

Perkara paling ketara adalah suasana ibadah korban apabila ia melambangkan kepada amalan sedekah dan juga amalan bekerjasama. Aktiviti korban ini biasanya diadakan di tepi rumah yang diketuai oleh ketua atau "Toke Semelih" kumpulan masing-masing.

Seperti aku cerita tadi, kemesraan jiran dan keluarga dapat dirasa apabila bermulanya acara korban sehingga daging diagihkan. Dan acara melapah  adalah acara paling best, sebab disini aku belajar cara-cara nak melapah lembu terutama bahagian perut muda (bahagian usus) dan tidak dinafikan AKU GAGAL. 

Di Kelantan, boleh aku katakan setiap keluarga akan mengambil bahagian dalam ibadah korban sekaligus menjadikan kuantiti lembu korban di Kelantan agak banyak. Masih teringat lagi tentang seekor lembu yang ingin dikorbankan, lembu tersebut mengamuk habis pagar rumah mak sedara aku disodoknya tapi mujurlah pagar biasa sahaja, selepas 15 minit barulah dapat tumbangkan lembu tersebut.

Kepada sahabat-sahabat sekalian, datanglah ke Kelantan sekali untuk merasai suasana Hari Raya Aidiladha


MELAKA KEMBALI KE LIGA SUPER SELEPAS 10 TAHUN

MELAKA KEMBALI KE LIGA SUPER SELEPAS 10 TAHUN



Selepas 10 tahun menyepi daripada saingan Liga Super, Melaka United sah bakal kembali susulan kejayaan menjuarai Liga Perdana meskipun melakar keputusan seri 1-1 dengan Johor Darul Takzim II (JDT II) di Stadium Hang Jebat malam ini.

Satu mata sudah cukup bagi memastikan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris diangkat sebagai juara Liga Perdana musim ini.

Gol Melaka hadir menerusi jaringan Yashir Pinto pada minit ke-76 sebelum Rafael Bonfirm menyamakan kedudukan di hujung perlawanan.

Tatkala Melaka bersorak dengan keputusan seri, JDT II pula jatuh ke tangga ketiga liga susulan kejayaan PKNS meraih kemenangan 1-0 ke atas ATM meletakkan mereka di kedudukan kedua.

Kejayaan Melaka musim ini boleh diletakkan ke atas usaha mereka membawa masuk pemain import berkesan di samping memiliki barisan pemain tempatan yang berbakat.

Muncul sebagai juara Liga FAM musim lalu, Melaka hanya memerlukan semusim untuk kembali meletakkan pasukan itu bersaing dalam liga paling kompetitif di Malaysia.

Lebih membanggakan, mereka menamatkan saingan Liga Perdana musim ini dengan hanya satu kekalahan daripada 20 perlawanan setakat ini.

sumber: Astro Arena

Tuesday, September 6, 2016

Harimau Malaysia lunyai dibaham Garuda


KREDIT PEMILIK ASAL GAMBAR
INDONESIA sekadar memerlukan 22 minit untuk melakukan impak di pentas antarabangsa selepas bebas daripada penggantungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak Mei lalu apabila menewaskan skuad Harimau Malaysia 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo malam tadi.
Kekalahan itu memberikan isyarat kecemasan kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menurunkan sebahagian besar pemain muda termasuk Safawi Rasid dan Irfan Fazail dalam persiapan untuk mengharungi kempen kelayakan Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar akhir November depan.
KREDIT PEMILIK ASAL GAMBAR
Dalam aksi itu, skuad Garuda menghukum kerapuhan benteng pertahanan negara yang diketuai Fadhli Shas dan Ronny Harun menerusi jaringan awal Boaz Solossa seawal minit ketujuh.
Berselang dua minit kemudian, Irfan Bachdim menggandakan kedudukan sebelum Solossa meledak gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-22.
Beraksi di separuh masa kedua, skuad negara dilihat berjaya memperbaiki corak permainan dengan melancarkan beberapa serangan ke benteng pertahanan Indonesia tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas pertemuan dengan Indonesia, skuad negara bakal menentang Singapura dalam aksi pemanas badan di Kallang, Singapura pada (7 Oktober) dan menanti kunjungan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober ini.


SUMBER : KOSMO!

Sunday, September 4, 2016

Sokong Tengku Amir pimpin FAS

Sokong Tengku Amir pimpin FAS



KUALA LUMPUR 4 Sept - Beberapa persatuan penyokong Red Giants berharap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut ditransformasikan, bermula de­ngan pengunduran presidennya sekarang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana pelbagai kemelut telah melanda persatuan bola sepak itu ke­belakangan ini.

Malah Menteri Besar Selangor itu juga dilihat oleh peminat Selangor sebagai gagal menjalankan tanggungjawab sebagai presiden dengan baik sejak memegang jawatan pada Disember 2014 apabila hanya dua kali menghadiri mesyuarat exco FAS.

Bagi peminat, mungkin jalan terbaik untuk mengatasi pergolakan dalam persatuan itu adalah melantik Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi Presiden FAS.

“Sekiranya Tengku Amir Shah sudi menjawat jawatan itu pastinya kami menyambut baik perkhabaran itu,” kata Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Mohammad Haniff Rana Manzor.

“Bagi saya jika Datuk Seri Azmin Ali tidak mampu memimpin dan menguruskan persatuan bola sepak, sepatutnya dia membuka peluang kepada orang lain yang lebih berminat.
“Dia sebagai presiden jika berlaku kemelut seperti ini seharusnya dia yang bertanggungjawab dan patut buat keputusan.

“Jangan main lepas tangan, kenapa suruh timbalan dia selesaikan. Sebagai presiden dia patut ambil tanggungjawab itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd. Faizal Wahid menyokong sepenuhnya jawatan presiden baharu dijawat oleh Raja Muda Sela­ngor.

Beliau juga meminta sesiapa sahaja yang menjadi presiden baharu FAS kelak dapat menswastakan pasukan dengan segera dan menjadikan kemajuan yang dicapai oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh terbaik pada masa kini.

“Jika Tengku Amir Shah sudi menjadi presiden, keputusan itu sangat dialu-alukan oleh penyokong-penyokong Sela­ngor. Mungkin Raja Muda dapat mengikut apa yang dilakukan oleh TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) memajukan bola sepak Johor.

“Cuma satu saya minta jika Tengku Amir atau sesiapa sahaja menjadi presiden nanti iaitu FAS dapat diswastakan. Kalau lihat pengurusan sekarang langsung tidak ambil kisah apa yang dicadangkan oleh penyokong. Jangan sampai stadium kosong tanpa penyokong baru mahu ambil langkah drastik,” tegasnya.

SUMBER : UTUSAN
Kemarau gol antarabangsa Mueller berakhir

Kemarau gol antarabangsa Mueller berakhir

PEMAIN tengah Jerman, Thomas Muller (kiri) bersaing dengan kapten Norway, Havard Nordtviet pada perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia, semalam. - Foto AFP

OSLO: Thomas Mueller menamatkan kemarau golnya di peringkat antarabangsa apabila meledak dua kali ketika membantu Jerman mengatasi Norway 3-0 dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia semalam.
Mueller kesempatan di atas kealpaan benteng pertahanan Norway di awal permainan dan menanduk masuk gol ketiga Jerman pada minit ke-60 dalam saingan Kumpulan C kelayakan zon Eropah.
Mueller yang gagal meletakkan dirinya dalam senarai penjaring ketika kejohanan Euro 2016 lalu, turut melakukan umpanan kepada Joshua Kimmich untuk gol kedua Jerman semalam, dan gol antarabangsa pertama buat rakan sepasukannya itu.
Ketiadaan Jerome Boateng, Mario Gomez dan Andre Schuerrle, serta Lukas Podolski dan Bastian Schweinsteiger yang sudah bersara daripada kancah bola sepak antarabangsa langsung tidak menjejaskan rentak Jerman.
Mereka menguasai 68 peratus permainan dan berada di dalam kawasan Norway hampir pada keseluruhan permainan. Penjaga gol, Manuel Neur yang dilantik kapten menggantikan Schweinsteiger langsung tidak diuji dengan percubaan tepat.
"Kami mengawal setiap aspek, kami tidak membenarkan Norway mengawal permainan dan mencipta peluang. Saya gembira dengan persembahan pasukan.
"Ia bagus untuk Mueller untuk menjaringkan gol dan bagus untuk kami juga. Saya bagaimanapun lebih gembira jika dia menjaringkan gol di Kejuaraan Eropah."
Norway, yang menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan persahabatan pada tahun 2009, gagal mengulangi aksi cemerlang mereka dan setiap percubaan mudah dipatahkan skuad lawan yang bermain dengan pantas.
Ia adalah permulaan sempurna untuk Jerman dalam kumpulan yang dianggap cukup mudah buat juara dunia itu.
Pesaing terdekat mereka, Republik Czech sekadar seri tanpa jaringan menentang Ireland Utara manakala Azerbaijan menang tipis 1-0 ke atas pasukan kerdil San Marino. - Reuters

sumber: Berita Harian
Amaran TMJ kepada individu dalam ‘pendrive’

Amaran TMJ kepada individu dalam ‘pendrive’



TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana individu yang disebut dalam ‘pendrive’ kontroversi agar segera berundur daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Beliau menegaskan bakal bertindak mendedahkan identiti individu-individu tersebut sekiranya mereka masih dalam FAM, tahun depan.

“Saya hanya nak nasihat kepada individu-individu tersebut, hanya saya sahaja tahu siapa, tahun depan awak berundur. Kalau awak tak berundur, saya dedahkan semua sekali.

“Jika tidak mahu saya dedahkan, awak berundur dengan cara baik, kita lantik orang baharu yang boleh menjalankan tugas,” katanya melalui petikan video Dialog Bersama Tunku Mahkota Johor yang disiar melalui Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan kandungan ‘pendrive’ didakwa mempunyai bukti penyelewengan yang diterima daripada Tunku Ismail kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.


Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, FAM perlu diterajui individu-individu yang benar-benar mampu menjalankan tugas demi bola sepak tanah air.

“Saya hanya mahu individu-individu tidak bertanggungjawab tidak ada di situ lagi. Itu sahaja.
“Apabila pengadil adil, profesional dan badan induk itu juga profesional. Itu cara Johor akan kuasai bola sepak tanah air,” katanya.

Menyentuh soal kandungan ‘pendrive’ itu, Tunku Ismail berkata, ia hanya mengandungi isu-isu teknikal seperti yang sering beliau bangkitkan kepada FAM sebelum ini.

“Saya terima laporan ‘pendrive’ ini dari orang dalam tapi dalam laporan itu sama juga dengan perkara yang saya selalu suarakan kepada FAM...pilih kasih, teknikal, tak ada lah apa-apa berkenaan dengan syarikat membuat duit dan sebagainya.

“Jadi, banyak perkara teknikal seperti jurulatih tidak profesional, banyak pilih kasih, Exco tidak main peranan dan lain-lain perkara teknikal,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN