Friday, November 4, 2016

Annuar tidak mampu teraju Kelantan




PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sedang menimbang secara serius untuk melepaskan jawatan nombor satu yang disandangnya itu sejak tahun 2008.

Annuar berkata, beliau kini tidak lagi berupaya menerajui badan induk bola sepak negeri itu setelah dihimpit pelbagai cabaran besar terutama melibatkan soal kewangan dalam menguruskan The Red Warriors (TRW).

Menurutnya, sudah tiba masanya beliau mengundur diri dan memberi peluang kepada individu lain yang lebih berkelayakan melakukan transformasi bagi memastikan gergasi Pantai Timur itu tidak terus tercicir bersaing dalam arena bola sepak negara.

“Saya sedang memikirkan untuk melepaskan jawatan (presiden), beri (kepada) orang lain sebab saya tengok negeri seperti Kedah cemerlang, jadi saya pun nak Kelantan cemerlang. Kalau nak cemerlang, kena beri kepada orang yang lebih berupaya.

“Saya ni habis gas (tidak terdaya) dah, elok bukan ruang kepada pembaharuan dan tenaga baharu. Kedah, Johor dan Selangor semuanya ada perubahan selepas diambil alih kepimpinan baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kit Peperiksaan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Ketereh, malam semalam.

Ia kenyataan kedua Annuar dalam tempoh seminggu berhubung hasratnya itu setelah mengakui penat memikirkan masa depan dan hala tuju bola sepak Kelantan yang dihimpit pelbagai masalah termasuk kekurangan dana, sejak dua tahun lalu.

Pada mesyuarat agung tahunan Kafa akhir tahun lalu, beliau pernah membuat pengumuman terbuka mahu melepaskan jawatan presiden namun tidak ada sesiapa berani tampil menawarkan diri mengambil alih pengurusan bola sepak negeri itu.

Supremo bola sepak Kelantan itu menunjukkan keinginan tinggi mahu meninggalkan kerusi panas yang beliau duduki sejak lapan tahun lalu itu apabila menuntut perubahan di peringkat pengurusan tertinggi disegerakan demi ‘survival’ pasukan TRW.

“Kelantan juga harus buka ruang supaya ada idea baharu. Kita jangan tamak, sebab ini adalah satu badan sukarela, saya hendak tengok bagaimana perkara (perubahan) seperti ini boleh dilakukan di Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar menafikan berlaku penghijrahan beramai-ramai pemain Kelantan ke pasukan lain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bermula akhir Januari tahun depan.

“Saya tak tahu, setakat ini tak ada pun dengar ramai (pemain akan keluar). Mana boleh keluar kalau masih ada kontrak, mereka mestilah hormati kontrak yang ada,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian

Related Posts

Annuar tidak mampu teraju Kelantan
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.