Sunday, September 4, 2016

Sokong Tengku Amir pimpin FAS



KUALA LUMPUR 4 Sept - Beberapa persatuan penyokong Red Giants berharap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut ditransformasikan, bermula de­ngan pengunduran presidennya sekarang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana pelbagai kemelut telah melanda persatuan bola sepak itu ke­belakangan ini.

Malah Menteri Besar Selangor itu juga dilihat oleh peminat Selangor sebagai gagal menjalankan tanggungjawab sebagai presiden dengan baik sejak memegang jawatan pada Disember 2014 apabila hanya dua kali menghadiri mesyuarat exco FAS.

Bagi peminat, mungkin jalan terbaik untuk mengatasi pergolakan dalam persatuan itu adalah melantik Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi Presiden FAS.

“Sekiranya Tengku Amir Shah sudi menjawat jawatan itu pastinya kami menyambut baik perkhabaran itu,” kata Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Mohammad Haniff Rana Manzor.

“Bagi saya jika Datuk Seri Azmin Ali tidak mampu memimpin dan menguruskan persatuan bola sepak, sepatutnya dia membuka peluang kepada orang lain yang lebih berminat.
“Dia sebagai presiden jika berlaku kemelut seperti ini seharusnya dia yang bertanggungjawab dan patut buat keputusan.

“Jangan main lepas tangan, kenapa suruh timbalan dia selesaikan. Sebagai presiden dia patut ambil tanggungjawab itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd. Faizal Wahid menyokong sepenuhnya jawatan presiden baharu dijawat oleh Raja Muda Sela­ngor.

Beliau juga meminta sesiapa sahaja yang menjadi presiden baharu FAS kelak dapat menswastakan pasukan dengan segera dan menjadikan kemajuan yang dicapai oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh terbaik pada masa kini.

“Jika Tengku Amir Shah sudi menjadi presiden, keputusan itu sangat dialu-alukan oleh penyokong-penyokong Sela­ngor. Mungkin Raja Muda dapat mengikut apa yang dilakukan oleh TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) memajukan bola sepak Johor.

“Cuma satu saya minta jika Tengku Amir atau sesiapa sahaja menjadi presiden nanti iaitu FAS dapat diswastakan. Kalau lihat pengurusan sekarang langsung tidak ambil kisah apa yang dicadangkan oleh penyokong. Jangan sampai stadium kosong tanpa penyokong baru mahu ambil langkah drastik,” tegasnya.

SUMBER : UTUSAN

Related Posts

Sokong Tengku Amir pimpin FAS
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.