Tuesday, August 30, 2016

Rooney bersara wakili England selepas Piala Dunia


BURTON-ON-TRENT, United Kingdom: Wayne Rooney mengumumkan kempen Piala Dunia 2018 di Russia akan menjadi penampilan terakhirnya selaku pemain England.
"Secara realistik saya sendiri tahu yang Russia akan menjadi peluang terakhir saya untuk melakukan apa saja bersama England," kata kapten England itu di sidang media di St George's Park, Burton hari ini.
"Jadi saya akan cuba dan menikmati tempoh dua tahun ini dan berharap saya boleh menamatkan karier bersama England dengan nota yang tinggi."
Pengurus baru England, Sam Allardyce mengesahkan yang Rooney, 30, akan terus memakai lilitan kapten pada kempen kelayakan Piala Dunia bermula dengan menentang Slovakia, Ahad ini.
Penyerang Manchester United itu akan melakukan penampilan ke-116 bersama England di Trnava yang menyaksikannya mengatasi rekod David Beckham sebagai pemain paling banyak menyarung jersi The Three Lions.
Sejak ditugaskan sebagai kapten pada Ogos 2014, Rooney juga sudah meledak 53 gol buat negaranya.
Tetapi dalam enam penampilan di kejohanan utama, England gagal melangkah lebih jauh berbanding di suku akhir termasuk tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2014 ketika bergelar kapten.
Pada kempen Euro 2016, England disingkirkan Iceland di peringkat 16 terakhir.
"Saya mengharungi karier antarabangsa yang menakjubkan setakat ini, bermain banyak perlawanan dan menikmatinya setiap minit namun pada satu tahap, ia perlu berakhir.
"Saya tidak tua. Saya berusia 30 tahun dan datang ke Russia, saya merasakan yang sudah tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak antarabangsa. Saya sudah membuat keputusan."
Penampilan paling menakjubkan Rooney bersama England di pentas utama pastinya di Euro 2004 di Portugal apabila dia meledak empat gol ketika skuad bimbingan Sven Goran Eriksson melangkah ke suku akhir.
Dia baru berusia 18 tahun ketika itu. - AFP

Related Posts

Rooney bersara wakili England selepas Piala Dunia
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.