Monday, June 13, 2016

Wander Luiz pemain import terbaru Kelantan?



PEMAIN kelahiran Brazil, Wander Luiz Bitencourt Junior berada dalam radar Kelantan untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan cabaran skuad pantai timur itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu dijangka tiba di Kota Bharu, esok, bagi menyertai ujian pemilihan bersama seorang lagi pemain kebangsaan Maldives, Akram Abdul Ghanee yang sudah pun menjalani latihan dengan Kelantan, sejak tiga hari lalu.

Walaupun Ketua Jurulatih The Red Warriors, Velizar Popov enggan mendedahkan butiran pemain berkenaan, namun sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan Wander Luiz Junior adalah individu yang dimaksudkan itu.

“Jika tiada apa-apa masalah, mungkin esok pemain itu akan tiba di negara ini. Saya mencari pemain serba boleh, dia berperanan selaku penyerang utama, penyerang sokongan dan juga penyerang tipikal.  

“Kelantan memerlukan pemain import yang boleh beraksi di semua posisi termasuklah tengah dan serangan. Jadi, saya perlukan pemain yang boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama, bukan datang ke sini untuk memanaskan bangku simpanan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pemain kelahiran Lamim itu memulakan karier dengan mewakili Vila Nova FC di negara kelahirannya bermula tahun 2005 hingga 2010, Buriram (2010-2011), Suphanburi FC (2012), America de Cali (2013), Fujairah SC (2014), Ulsan Hyundai FC dan kelab terakhirnya, Ratchaburi Mitr Phol FC dalam Liga Thailand, pada musim lalu.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Bulgaria itu berkata, dia tidak akan terburu-buru menamakan pengganti Dramane Troare dan Jonatan Lucca selagi belum menilai kemampuan pemain dua tersebut dalam sesi latihan dan aksi persahabatan selepas ini.

“Sehinggalah pemain itu datang, buat pemeriksaan kesihatan dan saya mahu lihat sama ada boleh menyesuaikan diri atau tidak, tiada jaminan saya boleh berikan (mengikat pemain) kerana apa-apa sahaja boleh berlaku pada saat-saat akhir.

“Anda tengok (Francis) Forkey Doe amat menakjubkan semasa mewakili Selangor, penjaring terbanyak bersama Felda United tetapi tiada apa-apa menarik ketika bersama Kelantan. Begitu juga Troare cemerlang di PDRM (Polis Diraja Malaysia) musim lalu, namun gagal menyerlah di sini,” katanya.

Dalam masa sama, pengendali berusia 40 tahun itu turut menegaskan sekalipun mengenali Akram, ketika melatih skuad kebangsaan Maldives tahun lalu, namun itu tidak bermakna dia bersedia mengikat pemain yang beraksi di dua posisi berbeza itu dalam masa terdekat.

“Saya tahu mengenai Akram, tetapi dia perlu bersedia bukan 100 tetapi 200 peratus jika hendak menyarung jersi Kelantan. Sebagai pemain import, bagus sahaja tidak cukup kerana pasukan ini cukup spesifik dan mereka kena sesuaikan diri dengan corak permainan dengan baik,” katanya.

-Sinar Harian-




Related Posts

Wander Luiz pemain import terbaru Kelantan?
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.